PUTARAN hidup perjuangan kumpulan rock Wings jika dihayati sememangnya cukup menarik. Selain sudah lali dengan jatuh bangun dalam industri muzik dan berdepan dengan masalah penukaran vokalis utama, namun 'sayap' Wings tetap tidak pernah patah.
Masalah bagi mereka sesuatu yang lumrah. Pada perkiraan Wings tanpa masalah, tiada pula serinya hidup sebagai artis.
Justeru itu Wings yang kini dianggotai oleh Joe yang juga pemain gitar utama kumpulan itu, Black (pemain deram), Eddie (gitar bass) dan Mus (vokalis utama) percaya prinsip hidup mereka sama seperti artis lain juga.
"Apa yang penting jangan terlalu tunduk kepada masalah. Jadikan ia satu cabaran untuk terus menghadapi masa depan,'' ujar Joe yang merupakan ketua kumpulan Wings.
Bernaung di bawah payung syarikat rakaman BMG Music, Wings yang sudah tiga kali menukar penyanyi utamanya juga berpendapat, meskipun perjuangan Wings seringkali dilingkari dengan masalah, mereka percaya mungkin ada hikmah di sebaliknya.
Ujian dan dugaan yang dihadapi oleh Wings kata Joe, juga menjadi penyebab mengapa mereka tidak pernah berdiam diri untuk menghasilkan kerja seni yang terkini untuk para peminat setia muzik rock.
Terbaru Wings mencari asal-usul identiti muzik rock dalam album ke-13 mereka sepanjang melibatkan diri dalam industri muzik.
Album yang sekali lagi menyaksikan kehebatan Wings bertindak sebagai penerbit album dijangka akan melonjakkan kembali populariti kumpulan itu selepas menyepi hampir setahun.
Produk yang diberi judul Mencari Asal-Usul sengaja tidak menggunakan khidmat penerbit lain kerana Wings mengambil kira soal kepuasan.
"Ini tidak bermakna penerbit album yang lain tidak memberikan kepuasan. Sebaliknya jika bekerja sendiri kami tahu apa yang sebenarnya perlu disogokkan kepada para peminat.
"Selain itu kami sendiri bebas membuat sebarang keputusan kerana tiada campur tangan orang lain. Bagaimanapun kerja menerbit album ini juga diperolehi daripada pengalaman kami dalam industri muzik,'' jelas Joe lagi.
Sekalipun berpegang teguh kepada genre muzik rock, namun Wings juga cuba menerapkan unsur kepelbagaian dalam album ini sebagai tujuan untuk meluaskan skop pasaran album mereka.
Antara unsur-unsur lain yang terkandung dalam album ini ialah unsur muzik rock klasik, balada, pop rock dan turut diserikan dengan unsur heavy metal.
Kepada peminat setia Wings jangan lupa untuk menilai kehebatan susunan muzik kumpulan itu menerusi lagu-lagu seperti Mencari Asal-Usul, Sakit Bantal Empuk, Hati Sulam Lain, Hidup Sederhana dan lain-lain lagi.