@
KUMPULAN Wings
TIDAK banyak artis berkumpulan yang sanggup mengambil risiko merakamkan lagu secara langsung untuk sesuatu penerbitan album baru.
Selain daripada pasti menghadapi kesukaran termasuk dari segi teknikal rakaman, penguasaan vokal penyanyi mestilah mampu mencapai tahap yang dikehendaki.
Berbeza pula dengan muzik dirakamkan menerusi 'programing' yang lebih senang dikendali dan dikawal ketika proses rakaman dilakukan.
Begitu juga sebaliknya bagi kumpulan Wings yang memilih untuk merakamkan lagu secara langsung.
Mereka ingin mengekalkan originaliti muzik, selain memantapkan lagi muzik rock yang mereka rakamkan.
''Teknologi rakaman yang canggih dapat dimanfaatkan untuk menampilkan bunyi rakaman muzik secara langsung dengan baik,'' kata mereka mengenai album terbaru Mencari Asal Usul yang telah pun dipasarkan Isnin lalu.
Malah, pemain gitar kumpulan itu, Joe memberitahu, pemuzik Barat juga kini kembali membuat rakaman muzik secara langsung untuk menampilkan muzik dengan lebih nyata.
Katanya, penggunaan muzik secara langsung membuktikan kekuatan dan keupayaan sesebuah kumpulan dan juga keupayaan vokal penyanyi.
Album terbitan mereka sendiri itu memuatkan lagu-lagu Mencari Asal Usul, Sakit Bantal Empuk, Badan Belut Kepala Ular, Dilailah, Hati Sulam Lain, Hidup Sederhana, Bukan Kerana Matahari, Krisis Di Pertengahan Hidup, Padamkan Lampu Tidurmu dan 18000 Sayap.
Wings merasakan menerbitkan sendiri sesebuah album lebih senang kerana dapat menyerapkan idea yang diingini di dalam album tersebut.
''Kami merasa bebas untuk membuat sebarang keputusan tanpa campur tangan orang lain,'' kata Joe lagi.
Wings juga masih optimis terhadap keutuhan muzik rock walaupun pelbagai jenis irama muzik muncul pada masa ini.
Walaupun mengalami banyak masalah termasuk pengunduran beberapa penyanyi yang pernah bersama Wings, mereka tidak menjadikan itu sebagai alasan, sebaliknya ia sebagai peniup semangat.
Kejayaan album Biru Mata Hitamku dua tahun lalu mencatatkan jualan melebihi 150,000 unit membuktikan Wings masih mempunyai banyak peminat setelah mengundang Mus sebagai penyanyi utama kumpulan itu.