Wings terus bersemarak

SAYAP kumpulan Wings terus mengembang seiring bayu muzik yang semakin laju biarpun musim melodinya kerap berubah, bak kata kiasan "makin berisi makin merunduk..."

Sokongan peminat terhadap irama rock yang ditampilkan Wings sejak mereka muncul menerusi album sulung pada 1987 (Belenggu Irama) tetap berterusan sebagaimana suasana kegemilangan rock & roll atau heavy metal dulu.

Dalam tempoh 12 tahun, nama Wings terus bersemarak. Dua faktor meletakkan mereka pada tahap sekarang - pengalaman dan kemata-ngan.

Awie sudah lama berundur menjadi vokalis mereka, penggantinya Mel pula hanya bersama untuk seketika dan kini vokalis baru, Mus meneruskan nyawa dan misi Wings.

Pintu 1998 mendorong kumpulan itu mengimbau kembali perjuangan, kenangan pahit manis yang pernah mereka kecapi dan diabadikan secara simbolik menerusi album Mencari Asal Usul.

Album berkenaan yang baru sebulan dipasarkan adalah album ke-12 Wings dan proses rakamannya berteraskan teknik rakaman secara terus dan bukannya konsep rakaman satu laluan ke satu laluan.

Kehadiran album ini ibarat "orang mengantuk disorongkan bantal" kepada peminat setia Wings yang terus menanti daya kreativiti dan sentuhan terbaru kumpulan elit ini.

Empat lagu hits menerusi album terbaru ini turut melonjak kembali populariti Wings, sekali gus menepis andaian songsang nama kumpulan dianggotai Joe, Eddie, Black dan Mus ini mulai goyah dek kemunculan banyak kumpulan rock baru dewasa ini.

Rentak dan lenggok muzik serta gaya bahasa menerusi lirik lagu Sakit Bantal Empuk, Hati Sulam Lain, Krisis Di Pertengahan Hidup dan Padamkan Lampu Tidurmu menjadi bukti nama Wings terus segar menjelang abad baru.

Empat bulan rakaman di Studio Synchrosound dengan tenaga penerbitnya anggota Wings sendiri, hasil menerusi Mencari Asal Usul menyerlahkan evolusi muzik yang mereka bawa ada semangat universal dan terselit nilai budaya tradisi menerusi judul lagu-lagunya.

Variasi dalam album ini ketara dengan adanya pengaruh rock klasik, balada dan pop serta heavy metal. Walaupun baru sebulan di pasaran, Mencari Asal Usul dijual lebih 45,000 unit.

"Teknik rakaman live bukan baru. Ia dibuat secara meluas di peringkat antarabangsa. Kami pernah mencubanya bagi album Biru Mata Hi-tamku. Ia tidak statik seperti sebelumnya kerana ada pembaharuan dari segi susunan muzik," kata Joe.


BALIK