Berikut di senaraikan sebahagian anugerah-anugerah yang telah di terima oleh WINGS sepanjang penglibatan mereka dalam bidang muzik.
  1. JUARA LAGU 1989

    2 lagu dari album Hukum Karma iaitu Taman Rasyidah Utama dan Misteri Mimpi Syakilla telah layak ke peringkat akhir Juara Lagu, salah satu acara tahunan berprestij anjuran TV3. Persembahan Wings pada malam ini cukup menarik walaupun baru pertama kali melayakkan diri ke peringkat akhir. menerusi 2 lagu tersebut, mereka memenangi tempat ke 2 dan ke 3 dalam kategori persembahan terbaik. Keputusan ini sebenarnya dipersoalkan kerana ramai berpendapat persembahan Wings jauh lebih baik dari kumpulan Search yang memenangi tempat pertama dalam kategori yang sama menerusi lagu Isabella. Lagu ini memenangi 2 anugerah utama yang lain.

    Namun, mungkin disebabkan oleh populariti Search telah lama bertapak dan juga Lagu Isabella yang cukup masyhur, nasib tidak memihak kepada Wings. Ada juga yang menyatakan rentak lagu bagi kedua-dua lagu Wings tersebut yang high pitching sukar dibandingkan dengan lagu Isabella yang lebih kepada slow and feeling.

    Walaubagaimanapun, keunggulan wings pada malam itu adalah pada seni vokal Awie yang cukup memukau diiringi dengan muzik mantap oleh 3 lagi anggota Wings iaitu Joe, Eddie dan Black.

  2. JUARA LAGU 1990

    Setelah album Hukum Karma berjaya menaikkan nama Wings di persada seni tanahair, 2 tahun berturut-turut mereka berjaya mara ke peringkat akhir Juara Lagu. Kali ini mereka mempertaruhkan lagu Sejati dari album Teori Domino. Bersama populariti yang makin marak, Wings tampil kali ini dengan persediaan yang lebih rapi.
    Lagu Sejati dipersembahkan pada malam itu dengan muzik gamelan pada intronya yang diselang-selikan dengan petikan gitar oleh Joe. Persembahan berjalan lancar dan ianya diakhiri dengan paluan gong oleh Jojet dan ungkapan kata `Sejati` oleh Awie.

    Seperti yang diramal,lagu ini memenangi anugerah persembahan terbaik dan tempat ke 3 dalam kategori lagu terbaik.

    Seperkara lagi yang menarik ialah pakaian kesemua anggota Wings dengan fesyen warna-warni dan dandanan rambut yang istimewa. Diberitakan kos pakaian mereka pada malam itu yang sama mahal dengan hadiah yang dimenangi.

  3. ANUGERAH INDUSTRI MUZIK(AIM) 1993


    AIM adalah acara tahunan yang diperkenalkan sebagai salah satu usaha menghargai jasa para artis sekaligus memartabatkan dunia muzik tanahair. Pada tahun pertama anugerah ini, album Wings `Bazooka Penaka` menerima pencalonan paling banyak dalam pelbagai anugerah selain dari album `Double Trouble`.
    Walaubagaimanapun, hanya satu anugerah yang dimenangi oleh Wings iaitu Anugerah Rakaman Album Terbaik.

    Sebenarnya, anugerah ini merupakan yang terakhir dimenangi oleh Awie bersama Wings. Ketika keputusan diumumkan, Awie yang duduk berlainan meja dengan 3 lagi anggota Wings keluar ke pentas bersama `rakan lama`nya untuk menerima anugerah. Suasana majlis bertukar menjadi pilu bila Awie menitiskan airmata sewaktu berucap sebagai pemenang. Beliau ditenangkan oleh Joe, Eddie dan Jojet dan mereka berpelukan buat kali terakhir.

  4. ANUGERAH INDUSTRI MUZIK 1996


    Pada kali ini, Wings memenangi Anugerah Kulit Album terbaik menerusi album Biru Mata Hitamku, album pertama yang menampilkan Mus sebagai vokalis. Rekabentuk album dihasilkan oleh Bombay. Ianya ternyata cukup menarik sejajar dengan tajuk album dimana logo Wings yang ditengahnya diletakkan sepasang mata yang mata hitamnya berwarna biru. Ditepinya terdapat satu pantulan cahaya dan latarbelakang kulit album ini ialah bentuk 3D logo Wings berwarna biru. Penulis sendiri berpendapat kulit album ini adalah yang terbaik setakat ini.



BIRU MATA HITAMKU.........hasil rekaan Bombay