AWIE MENINGGALKAN WINGS


Awie, vokalis utama Wings yang selama ini menjadi nadi dan cukup sebati dengan imej kumpulan ini,tiba-tiba bertindak keluar dari kumpulan rock yang dianggotainya sejak 1985 ini. Kisah tragis ini bermula setelah lahirnya album Double Trouble pada awal tahun 1993. Konsert yang dirancangkan bersama Search tidak dapat dijalankan kerana Awie mengalami masalah kesihatan iaitu sakit tekak dan ini dikuatiri menjejaskan mutu suaranya.

Ini berlanjutan selama beberapa bulan sehinggalah pada pertengahan tahun dimana Wings membuat perancangan baru iaitu pembikinan album baru(Bazooka Penaka). Album ini dirakamkan di ibukota manakala sebahagian dari rakaman vokal dilakukan di Australia termasuk proses adunan dan juga mastering. Disebabkan Awie yang belum pulih 100% dari sakit tekaknya, album ini terpaksa juga dirakamkan dalam pitch yang rendah, berbeza dengan album-album terdahulu.

Walaubagaimanapun, album ini menemui peminat pada penghujung bulan Ogos dan sambutan yang diterima amatlah menggalakkan. Tidak sampai dua minggu, angka jualan album ini telah melebihi 100,000 unit. Ternyata peminat rock sudah lama menantikan kemunculan Wings dengan karya terbaru mereka. Album ini berjaya meletakkan Wings dipuncak kegemilangan dan mengembalikan kepercayaan peminat.

Serentak dengan dengan promosi yang sedang dipergiat, konsert Double Trouble jelajah negara bersama Search juga dilancarkan. Ini menyemarakkan lagi sokongan para peminat rock yang selama ini telah menunggu persembahan gabungan dua gergasi rock terunggul tanahsir ini.

Bagi Wings, konsert ini juga adalah bersempena pelancaran album terbaru mereka dan merupakan peluang untuk mempersembahkan lagu-lagu baru mereka kepada peminat.

Pada 13 November 1993, konsert Double Trouble diadakan di Stadium Negara Kuala Lumpur. Sebenarnya, ini merupakan konsert terakhir Awie bersama Wings.
(lihat 13 November 1993-Opera Terakhir)

2 hari berikutnya iaitu pada 15 November 1993 Awei menghantar surat perletakkan jawatan jawatan sebagai pengarah Flywings sekaligus menarik diri dari menjadi vokalis Wings. Perkara ini tidak dihebohkan dengan segera. Ianya dirahsiakan oleh anggota Wings yang lain dan pihak pengurusan syarikat rakaman BMG.

Akan tetapi sekali-sekala terdengar juga berita yang mengatakan keretakkan hubungan antara Awie dengan rakan sekumpulannya selain dari berita Awie merakamkan album solo. Selain dari itu, Wings yang menerima 2 tawaran berlakon filem juga menghadapi masalah dalam membuat keputusan. Hal ini juga menjadi perdebatan dalaman dimana Awie ingin membintangi filem Yusof Haslam(Sembilu) manakala ahli lain termasuk pengurus mereka lebih cenderung menerima tawaran dari Julie Dahlan(Putera).

Dalam pada itu, Awie dikatakan telah pergi membawa diri ke London dan menyambut hari jadi disana. Kehilangan beliau sekali lagi menjadi tandatanya bilamana konsert Double trouble yang dijadualkan di beberapa tempat terpaksa dibatalkan.

Hampir sebulan selepas itu, barulah berita penarikan diri Awie dari Wings disiarkan secara rasmi. Awie disahkan tidak lagi menjadi anggota kumpulan Wings. Berita ini mengemparkan seluruh dunia muzik tanahair. Dikala Wings berada dipuncak kegemilangan, kehilangan Awie merupakan satu tamparan hebat dan kumpulan rock ini ibarat telah kepatahan sayap. Seluruh peminat mereka amat terkejut dan begitu kecewa dengan berita ini.

Alasan yang diberikan oleh Awie ialah sakit tekaknya yang masih belum sembuh dan justeru itu beliau berehat dari mengelak ianya dari menjadi lebih teruk. Wings tidak berpecah dan beliau menyerahkan kepada 3 lagi anggota Wings iaitu Joe, Eddie dan Jojet untuk mencari vokalis baru dan meneruskan misi perjuangan Wings. Tambah beliau, tindakan ini adalah keputusan yang amat berat kerana amat sukar untuk berpisah dari kumpulan yang cukup disayanginya ini.

Lama selepas itu, barulah Awie mendedahkan rahsia krisis dalam kumpulan Wings dan masalah persefahaman yang dialami. Menurut beliau, sejak dari rakaman album Jerangkung Dalam Almari lagi beliau telah merasa terkilan kerana pandangan beliau untuk memantapkan lagi album itu tidak diendahkan oleh anggota Wings yang lain serta pengurus mereka.