BALIK

Wings dan Search bergabung lagi

Sekali lagi dua kumpulan rock gergasi, Search dan Wings berpadu tenaga menghasilkan album Double Trouble selepas kejayaan yang pernah dikecapi dua tahun lalu.

Kali ini, gabungan dua kumpulan ini menamakan album mereka Double Trouble II - Trouble Again. Tetapi penampilan kali ini jauh berbeza terutama dari segi pemilihan lagu.

Album kedua bagi dua kumpulan unggul ini memaparkan beberapa buah lagu lama tahun 60-an dan 70-an yang pernah popular suatu waktu dahulu.

Namun dengan teknologi terkini dan gaya persembahan, lagu-lagu tersebut lebih mantap daripada versi asal dulu.

Jika dulu, Search dan Wings merakamkan lima lagu baru setiap seorang, tetapi perkembangan sebaliknya pula berlaku dalam album volume II ini.

Kumpulan Search misalnya merakamkan semula tiga buah lagu lama dendangan penyanyi lain iaitu lagu Kucuba, nyanyian asal Clique Fantastic, Yale Yale (M Ishak) dan Suratku Untukmu (J Sham).

Ketiga-tiga lagu ini diberi nafas baru sesuai dengan imej kumpulan Search dan juga mengikut tuntutan industri muzik hari ini.

Dua buah lagu lain yang turut diberi nafas baru oleh Search ialah Di Pintu Sepi dan Balada Pemuzik Jalanan.

Sementara itu, kumpulan Wings pula diberi tanggungjawab merakamkan lima buah lagu termasuk dua buah lagu lama dendangan Sweet Charity iaitu Penunggu dan Terharu.

Tiga buah lagu lain yang dipertaruhkan oleh Wings dalam album Double Trouble II ini ialah lagu baru iaitu Gelora Membara, Blues Ular Sawa dan Masalah Berganda.

Album Double Trouble II ini merupakan pertaruhan terbesar BMG Music yang menjangkakan album ini akan mencatat jualan tertinggi kerana gandingan dua buah kumpulan muzik ini cukup mantap.

Malah album yang telah menjalani rakaman di Studio Synchrosound ini pada awalnya juga telah dirancang untuk menggandingkan vokalsi utama kedua-dua kumpulan ini, Amy dan Mus agar berduet dalam satu lagu.

Bagaimanapun, rancangan itu tidak dapat diteruskan atas sebab-sebab teknikal dan masalah kesuntukan masa.

Namun, sebagai menghargai kepercayaan peminat, Mus telah berganding bahu dengan pemain gitar utama kumpulan Wings, Joe dalam lagu Blues Ular Sawa.

Sebagai memastikan album Double Trouble II - Trouble Again ini mendapat sambutan yang memberangsangkan, syarikat rakaman BMG Music telah menyusun pelbagai promosi hebat.

Syarikat itu juga telah meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat album ini mencatat kejayaan yang luar biasa kerana pembikinan album ini dibuat dengan begitu berhati-hati dan teliti sebagai memenuhi kehendak pencinta dan peminat setia muzik Malaysia.