Konsert Dentuman Rock hibur 12,000 peminatSementara itu, di stadium yang sama malam kelmarin Konsert Dentuman Rock daripada Mael & Real XPDC, Amy & The Gang serta Kumpulan Wings turut membuka tirai kepada siri pertama persembahan mereka.Wings membuka tirai dengan lagu Opera Hidup dan penonton yang dianggarkan seramai 12,000 orang terus bertempik kerana sudah tidak sabar menghayati rangkaian lagu yang dipersembahkan oleh kumpulan itu. Vokal Mus nyata tidak mengecewakan dan apa yang pasti persembahan Wings pada malam itu memang hebat. Mus terus ligat membawakan rangkaian lagu seperti Hukum Karma, Rantai, Bujang Senang, dan Ular Sawa dan penonton turut sama menyanyikan lagu itu dan mereka yang berada di depan pentas menari dan banging bersama-sama. Amy yang muncul bersama kumpulan muziknya sendiri membawakan lagu popularnya seperti Mentari Merah Di Ufuk Timur, Langit Dan Bumi serta Pelesit Kota, Kepala Sotong, Api Dan Kulit dan Pasti. Persembahan Amy bersambung dengan kemunculan Mael & Real XPDC. Rangkaian hampir setiap lagu yang Mael dendangkan bermula mendapat sambutan hangat bermula dengan lagu Nafisa sehinggalah Hidup Bersama, Tak Nak Jadi Sochai, Selendang Merdeka, Senapang Patah dan Bahlol turut dinyanyikan bersama peminatnya. Real XPDC yang dianggotai Fariz atau Boy sebagai gitaris, Khairul atau Adik (bass) dan serta Joe (dram) bermain dengan begitu baik. Ini membuktikan Mael sendiri tidak perlu bergantung kepada bekas kumpulannya XPDC dan jika XPDC sendiri ingin menamatkan kemelut mereka sendiri, sebuah album baru yang menampilkan Ali sebagai vokalis mereka perlu dihasilkan dengan segera. Apapun, Konsert Dentuman Rock yang bermula jam 9 malam dan berakhir pada 11 malam berjaya memberi kepuasan kepada peminat muzik rock khususnya dan konsert ini akan diteruskan di Pulau Pinang pada 8 Oktober dan 11 Oktober di Ipoh.
|