Album Baru Wings
KUMPULAN Wings menggunakan teknik rakaman secara langsung bagi album terbaru
mereka, Mencari Asal Usul bukannya teknik track by track seperti kelazimannya.
Pemain gitar utama Wings, Joe atau nama sebenarnya Abu Zamin Kadir, berkata
teknik itu digunakan kerana proses rakaman dapat dilakukan dalam masa yang
singkat dan lancar, selain mampu mengelakkan berlakunya gangguan teknikal.
Menurutnya, ia bukan suatu teknik rakaman terbaru, malah digunakan secara
meluas di peringkat antarabangsa.
"Kita pun pernah mencuba teknik rakaman itu sebelum ini, terutama
menerusi album Wings terdahulu, Biru Mata Hitamku dan album Double Trouble
II yang turut membabitkan kumpulan Search," katanya pada majlis pra-dengar
album Mencari Asal-Usul di ibu negara, kelmarin.
Joe berkata, teknik rakaman secara langsung membuktikan kemampuan sebenar
seseorang artis, terutama sesebuah kumpulan muzik rock untuk menampilkan
muzik serta vokal yang mantap.
"Lihat sahajalah album Biru Mata Hitamku. Kemahiran kami mengendalikan
alat muzik asas seperti dram, gitar utama dan gitar bass dapat didengar
menerusi muzik yang dialunkan, selain kemantapan vokal penyanyi utama Wings,
Mus (Mustafa Din).
"Tidak ada pun sokongan teknologi rakaman lain seperti kebiasaannya.
Kira konsepnya samalah ketika Wings mengadakan persembahan dan konsert.
"Album ini sama-sekali berbeza dengan album Biru Mata Hitamku. Kami
turut melakukan beberapa pembaharuan, terutama pada aspek kualiti bunyi
dan susunan muzik," katanya.
Rakaman album Mencari Asal-Usul bermula 8 April lalu dan diterbitkan sendiri
kumpulan itu.
Selain Joe dan Mus, Wings turut dianggotai Samsaidi Ulong Idris atau Eddie
(gitar bass) serta Azmi Hashim atau Black (pemain dram).
Biarpun berpegang teguh kepada muzik rock, namun Wings cuba menerapkan
unsur kepelbagaian terhadap album Mencari Asal-Usul bertujuan meluaskan
skop pasarannya.
"Memang tidak ada konsep khusus bagi album ini. Ia berteraskan konsep
variasi. Kami turut menerapkan unsur muzik rock klasik, rock balada, heavy
metal dan sedikit Nusantara," katanya.
Dalam perkembangan lain, Wings akan membuat persembahan istimewa selama
90 minit di Ekspo Gemenceh, Negeri Sembilan bermula jam 9 malam ini (23
Mei).
Balik
|