13 NOVEMBER 1993 - OPERA TERAKHIR
Konsert : Double Trouble
Artis : WINGS & SEARCH
Tarikh : 13 November 1993
Tempat : Stadium Negara
Bilangan Penonton : 12,000 orang
Dengan kehadiran bilangan penonton yang memenuhi segenap
ruang stadium, konsert ini dimulakan pada jam 9.00 dengan pengacara Aziz
Bakar memberikan ucapan terima kasih kepada penonton kerana sudi datang
untuk menyaksikan persembahan dua gergasi rock tanahair ini.
Sejurus selepas itu, lampu dalam stadium dipadamkan dan cahaya laser memancar
ke setiap penjuru stadium dan kumpulan Wings pun muncul. Ianya disambut
dengan tepukan dan sorakan penonton dan Wings membuka tirai persembahan
dengan lagu Kuburkan Aku. Di pertengahan lagu tersebut diselitkan ucapan
selamat malam dari Awie. Lagu kedua yang dipersembahkankan pada malam itu
ialah Bazooka Penaka dan Awie mengayakan stand microphone seolah-olah senjata
bazooka.
Suasana konsert menjadi lebih hangat dan rancak bila Wings meneruskan persembahan
mereka dengan lagu Satelit Puaka. Awie seketika mengesat peluh di badan
dengan saputangan. Setelah itu, ianya reda seketika dan Awie berkomunikasi
bersama penonton selain turut mempersembahkan aksi menarik dengan gitar
akustik. Pada masa itu juga, terdengar suara peminat yang meminta lagu
Di Ambang Wati. Ianya tidak dihampakan dan lagu berentak slow ballad Di
Ambang Wati di nyanyikan. Untuk lagu ini, suara Awie jelas sama seperti
yang didengar dalam album.
Awie turut bermain gitar akustik dan seluruh stadium pada masa itu disinari
dengan pantulan laser hijau yang dipancarkan pada bebola kristal. Bebola
kristal yang berpusing-pusing perlahan-lahan itu menyebarkan cahaya ke
seluruh ruang dan ianya diserikan dengan cahaya lighter dari sebahagian
penonton. Suasana ini berterusan sehinggalah lagu tersebut selesai dinyanyikan.
Awie berhenti rehat seketika dan acara pentas dikendalikan oleh 3 lagi
angota Wings iaitu Joe, Eddie dan Jojet. Penonton dihiburkan dengan persembahan
instrumental lagu Watari(album Jerangkung Dalam Almari).
Awie kembali ke pentas dan suasana kembali rancak apabila lagu Puisi Merdeka
berentak heavy metal di dendangkan. Kemudiannya, lagu Bernafas Dalam Lumpur
dan Awie sekali lagi bermain gitar akustik.
Selepas itu, barulah konsert Double Trouble yang sebenar bermula. Kumpulan
Search muncul dan mereka bergabung dengan Wings di atas pentas untuk meneruskan
konsert. Dengan 3 gitaris, 2 bassis dan 2 drummer, Intro Double Trouble
pun bermula. Ianya diteruskan dengan lagu Gemuruh dan disini pertama kalinya
paduan suara 2 vokalis rock terunggul iaitu Awie dan Amy dapat didengar.
Persembahan diakhiri dengan lagu Ikutkan Saja dan selepas itu Search menyambung
persembahan hingga tamat kira-kira jam 11:30 malam.
Lagu Bernafas Dalam Lumpur merupakan persembahan terakhir Awie bersama
Wings dan lagu Ikutkan Saja adalah lagu terakhir yang dinyanyikan oleh
Awie semasa masih menjadi vokalis Wings