WINGS ,penubuhannya bermula pada tahun 1985 dengan dianggotai oleh 4 anak muda iaitu Awie(vokal), Sham(gitar),Eddie(bass) dan Black(drum). Setahun selepas itu, lahirlah album pertama Wings berjudul Belenggu Irama. Pada ketika muzik rock mula mendapat tempat, kemunculan sebuah kumpulan seperti Wings sememangnya menghangatkan arena muzik rock tanahair. Wings tampil dengan kelainan tersendiri dimana muzik yang dibawakan oleh mereka cukup mantap walaupum ini adalah album pertama.

Dengan susunan muzik yang baik dan vokal yang bertenaga serta dibantu oleh komposer terkenal seperti M.Nasir, J.S Kevin, perjudian pertama Wings dipersada seni tanahair menampakkan hasil bilamana album ini telah mendapat sambutan menggalakkan. Walaupun mereka terpaksa berdepan dengan masalah iaitu lagu-lagu mereka tidak dibenar penyiarannya di radio dan TV oleh rtm, pencinta muzik rock tetap dapat merasai bahang `Belenggu Irama` ini. Pihak RTM tidak memberi kelulusan penyiaran terhadap lagu-lagu Wings atas alasan lirik, lagu dan latarbelakang Wings yang dikatakan keterlaluan dan tidak menepati syarat untuk disiarkan. Sebenarnya, itu hanyalah anggapan semata-mata dan tidak bertepatan sama sekali. Akibatnya, Wings terus dibelenggu dengan hipokrasi ini dan sedikit sebanyak menghantui diri mereka. Namun, berkat ketabahan dan sokongan rakan dan peminat yang berdiri teguh di belakang, Wings berjaya menempuh segala dugaan dan cabaran yang melintangi perjuangan mereka.Album ini dikatakan telah terjual lebih 60,000 unit.

Selepas itu, populariti Wings terus meningkat. Konsert mereka sentiasa mendapat perhatian ramai dan rata-rata para peminat amat terhibur dengan persembahan Wings yang mantap dan mempunyai identiti tersendiri.

Akan tetapi, tidak berapa lama selepas itu pertukaran ahli berlaku dimana Sham yang sebelum ini bertindak sebagai pemain gitar telah menarik diri dan kekosongan ini digantikan oleh Joe, seorang gitaris kidal belasan tahun yang sebelum itu merupakan anggota kumpulan rock Scandals. Kehadiran Joe menambahkan lagi kemantapan Wings kerana beliau sungguh kreatif dan mempunyai kemahiran yang tinggi dalam permainan gitar.